Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) terdapat sepuluh etika penulisan blog. Etika penulisan blog yang pertama ialah tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Tajuk merupakan perkara yang penting dalam penulisan blog kerana pemilihan tajuk yang menarik dapat mempengaruhi pembaca. Penulis perlu berfikiran kreatif dengan memilih tajuk yang dapat mengusik jiwa dan memberi tanda tanya kepada pembaca untuk membaca blog tersebut. Tajuk blog yang menarik membuatkan pembaca rasa ingin tahu yang tinggi. Oleh itu, pembaca akan berusaha utuk membaca blog tersebut.
Seterusnya, etika penulisan blog yang kedua ialah cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca. Pemilihan cerita juga merupakan aspek yang sangat penting dalam penulisan blog. Penulis perlu memastikan cerita yang ditulis itu mempunyai isi dan kandungan yang dapat menarik pembaca. Kebanyakan pembaca gemar membaca jalan cerita yang ringan dan tidak terlalu berat. Hal ini kerana pembaca menyukai sesuatu pembacaan yang santai dan cerita yang menarik.
Selain itu, masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Sesuatu isi kandungan blog yang memiliki elemen jenaka sangat digemari oleh pembaca. Hal ini kerana, pembaca memilih untuk membaca sesuatu bahan bacaan yang lucu kerana dapat memberi hiburan kepada mereka. Bagi sesetengah pembaca melalui bacaan yang lucu dapat mengurangkan tekanan yang sedang dihadapi.
Disamping itu, etika penulisan yang keempat ialah memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Perkara ini perlu diberi perhatian kepada penulis blog. Setiap hujah yang ingin disampaikan oleh penulis perlu rasional dan mempunyai bukti supaya pembaca dapat menerima perkara yang ingin disampaikan. Penulisan yang tidak mempunyai hujah yang baik akan membuatkan pembaca ragu-ragu dan was was terhadap penulisan blog anda.
Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini merupakan etikan penulisan blog yang kelima. Berita terkini bermaksud perkara semasa yang sedang diperkatakan oleh masyarakat atau sesuatu fenomena yang sedang dialami oleh semua orang. Sebagai contoh, di Malaysia, Indonesia dan Singapura sedang mengalami bencana jerebu yang sangat bahaya. Penulis perlu mengambil peluang untuk mengaitkan berita jerebu dalam penulisan blog.
Etika penulisan blog keenam ialah gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Penulis perlu menggunakan kata dan ayat yang mudah supaya cerita yang ingin disampaikan dapat difahami oleh semua golongan. Jika penulis menggunakan kata dan ayat aras yang tinggi akan menyukarkan pembaca yang tidak sinonim dengan perkataan-perkataan tersebut. Struktur ayat yang ringkas memudahkan pembaca untuk memahami keseluruhan cerita.
Dapat dibaca dan difahami merupakan etika penulisan blog yang ketujuh. Maksud boleh dibaca dan difahami ialah menggunakan bahasa yang betul dan tepat. Penulisan blog yang baik hendaklah menggunakan bahasa yang difahami oleh pembaca. Aspek pemilihan saiz tulisan dan bentuk tulisan yang tepat supaya dapat dibaca oleh pembaca.
Seterusnya, etika penulisan blog kelapan berkomunikasi dengan pembaca. Melalui penulisan pembaca perlu memastikan penulisan tersebut dapat berkomunikasi dengan pembaca. Dapat berkomunikasi dengan pembaca juga bermaksud penulis mengetahui pembaca memahami perkara yang ingin disampaikan.
Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda ialah perkara penting dalam penulisan blog. Hal ini kerana pembaca akan mendapat manfaat melalui penulisan tersebut. Sesuatu penulisan blog yang baik dapat mengusik jiwa pembaca dan memberi satu impak dalam jiwa pembaca. Oleh itu, memasukkan moral dalam penulisan amat digalakkan.
Akhir sekali berilmu untuk penulisan pendidikan. Ilmu pengetahuan dan fakta yang tepat amatlah penting dalam penulisan pendidikan. Penulis perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang yang ditulis. Fakta yang tepat dan bernas akan disukai oleh pembaca dan tidak boleh dipertikai. Oleh itu, berilmu sangat penting dalam penulisan pendidikan.
kedua ialah masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuuatkannya lebih menarik.